6 Isteri Yang Menjahanamkan Suami

Isteri Yang Tidak Tahu Membuat Keputusan
Dia seorang isteri yang kaku tanpa inisiatif. Segala-galanya dirujukkan kepada suaminya. Pendeknya dia tidak akan bertindak melainkan dengan arahan yang jelas dari suaminya. Suami yang mendapat isteri yang sedemikian terpaksa memikul beban-beban tambahan yang berat di samping pekerjaan hariannya. Ia terpaksa memikul beban-beban rumah tangga serentak dengan beban-beban pejabatnya.

Isteri Yang Selalu Mengomel / Berleter
Dia selalu tidak puas hati biar apa pun yang dibuat oleh suaminya. Dia mengomel, mengkritik, dan mempersendakan semua tindak tanduk suaminya. Segala-galanya tidak kena dan ada saja cacat-celanya. Dia seorang yang selalu mementingkan dirinya dan tidak sabar. Dia mahu segala-galanya cepat, sempurna dan memuaskan.

Isteri Diktator
Dia seorang isteri yang gila kuasa. Dia melayani suaminya sebagai tawanan atau sebagai kanak-kanak yang kecil. Dia mahu semua keputusannya dipatuhi oleh suaminya dan dia mahu menguasai semua perbelanjaan rumah tangga. Setiap hari terima gaji dia akan menunggu suaminya di muka pintu untuk mengambil semua gaji itu dan mengawal semua perbelanjaan-perbelanjaan suaminya. Dia bukan saja mengawal perbelanjaan suaminya, malah dia menyoal setiap gerak-geri suaminya dan tidak silu-silu mengkritik tindak tanduk suaminya di depan kawannya.

Isteri Yang Suka Campur Tangan
Dia seorang isteri yang bercita-cita tinggi, tetapi menyalahgunakan kedudukan suaminya untuk melaksanakan cita-citanya itu. Dia mahu suaminya naik pangkat dan merasa kewajipan untuk campur tangan agar suaminya cepat naik pangkat. Kerana itu dia membuat hubungan-hubungan dengan isteri ketua pejabat atau isteri majikan suaminya atau membuat hubungan langsung dengan ketua pejabat atau majikan itu sendiri dengan tujuan untuk mempengaruhi mereka agar suaminya mendapat kenaikan pangkat. Ia tidak sedar bahawa campur tangannya itu merosakkan imej suaminya di mata ketua pejabat atau majikannya dan menimbulkan kebencian pada mereka.

Isteri Yang Boros
Dia hidup dengan satu anggapan yang salah iaitu tugasnya bukan mencari duit, tetapi membelanjakan duit. Tugas seorang suami ialah mencari duit dan sebagai suami yang tahu harga diri dia harus pandai mencari duit sebanyak yang diperlukan oleh isterinya. Suami terpaksa mencari pendapatan dengan mencari kerja-kerja lebih masa atau melakukan rasuah di pejabatnya untuk membayar bermacam-macam hutang yang meyerabutkan kepalanya. Biasanya dia tidak berunding dengan suaminya semasa hendak membeli sesuatu barang melainkan barang itu sudah sampai di rumah dan di sana dia akan meletakkan suaminya yang sabar dan lemah itu di depan kenyataan yang pahit.

Isteri Sosial
Dia seorang isteri yang sentiasa berpakaian cantik. Dianggap kewajipan utamanya bukan terletak di rumah tangga, malah menghadiri pertemuan-pertemuan, majlis-majlis keramaian, melawat rumah-rumah teman dan bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan sosial tanpa menghiraukan rumah tangganya. Dia tidak sempat menghiraukan sarapan pagi untuk suaminya, kerana ia masih nyenyak tidur akibat balik jauh malam. Suaminya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ikut sama ke mana-mana majlis yang dihadirinya untuk memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang suami yang bermaruah.